Thursday, May 17, 2007

naskhah hanturisme sebuah naskhah bersifat fantasisme

HANTURISME mengisahkan keluarga hantu yang kehilangan tempat kediaman mereka kerana manusia sudah tidak takut lagi dengan mereka. Kediaman mereka tidak dipedulikan sehingga menimbulkan pelbagai telatah lucu keluarga hantu tersebut dalam dilema untuk berpindah atau tidak. Antara hendak mempertahankan hak dan maruah mereka dalam keadaan tertekan atau terpaksa melupakan terus kediaman mereka bagi memberi peluang kepada manusia yang menjadikan tempat mereka sebagai tempat penagihan dadah.

Isetan tidak mahu keluarga mereka berpindah kerana hutan yang mereka tuju juga sudah dibangunkan dengan arus pembangunan. Jalan terbaik keluarga mereka terpaksa menerima apa saja perubahan zaman yang serba maju. Dan Isetan berjanji kepada dirinya, dia akan memperbaiki pemikiran generasi mereka daripada kepupusan kerana ledakan arus global.

naskhah mencari fitrah sebuah naskhah drama untuk kanak-kanak

MENCARI FITRAH mengisahkan Najwa dan Najmi yang ditinggalkan oleh kedua-dua orang tuanya. Mereka ditempatkan di rumah kebajikan cuba mencari siapa orang tua mereka dan kenapa mereka ditinggalkan. Di rumah kebajikan mereka berdua diajar selok-belok agama oleh Ustazah Nurina yang begitu baik dan mengambil berat tentang mereka.

Bermula dari situ mereka sering bertanya kepada Ustazah Nurina contoh orang tua yang baik dan harus dikenangkan. Sebagai seorang kakak, Najwa sering menasihatinya adiknya, Najmi supaya redha dengan apa yang berlaku. Namun sifat Najmi yang sedikit pendendam itu meresahkan Najwa. Saban hari perangai Najmi semakin kasar, meskipun dia tidak mengabaikan tuntutan agama, tapi kesan daripada ketandusan kasih sayang telah membuat Najmi memberontak dan ingin mencari siapa kedua-dua orang tuanya.

Najwa dan Najmi telah diambil sebagai anak angkat oleh Ustazah Nurina dengan alasan mereka berdua begitu akrab dengannya kerana apa yang berlaku kepada mereka berdua seperti yang pernah berlaku padanya dulu. Di mana dia juga telah diambil sebagai anak angkat kerana desakan hidup. Keinginan untuk mencari kedua-dua orang tuanya mendorong Najmi melarikan diri dari Ustazah Nurina dan kakaknya Najwa. Bagi Najmi, dia lebih rela menjadi anak gelandangan kerana baginya, dia terlalu sedih bila mengenangkan dia tidak seperti orang lain yang ada ayah dan ibunya. Najmi berharap dia akan bertemu dengan kedua-dua orang tuanya.

Kehidupan di luar membuat Najmi merasai hidup tanpa pegangan. Dia mula berasa sepi dan kosong. Najmi bertemu dengan Azali sebayanya yang cukup daif yang menceritakan padanya, akibat ketandusan kasih sayang keluarga. Sejak detik itu Najmi kembali ke pangkal jalan untuk menemui kakak dan Ustazah Nurina. Najmi mengajak Azali tinggal di rumah kebajikan dan sebagai sahabatnya. Najwa dan Najmi akhirnya bertemu semula dengan kedua-dua orangnya. Di mana kedua-dua orang tuanya, abang kepada ibu angkat mereka iaitu Ustazah Nurina. Mereka mempercayai dengan kefitrahan kehidupan yang dicari selama ini telah menemukan mereka semula atas keredhaan-Nya.

naskhah nazarkumal pernah tersiar dewan sastera

NAZARKUMAL mengisahkan nazar Datuk Engku Aqmalzuhri yang mahukan tempat persemadiaannya nanti mesti serba canggih dengan peralatan dan perisian sistem multimedia. Dia telah memberi kontraktor tersebut kepada sebuah syarikat Tajul Muluk Sdn Bhd yang dimiliki Tuan Haji Muluk untuk membina projek tersebut. Syarikat tersebut menyanggupinya, setelah ditawarkan RM1.6 juta. Tapi syarat yang diletakkan Datuk Engku Aqmalzuhri supaya projek itu dirahsiakan. Apa yang mengejutkan pemilik syarikat tersebut rumah baru yang dimaksudkan itu ialah sebuah kawasan perkuburan dengan keranda mewah yang serba canggih. Namun Datuk Engku Aqmalzuhri tidak dapat mati dengan selesa kerana dia berasa apa yang dinazarnya, tidak menepati apa yang diimpikannya sebelum ini.

Syarikat Tajul Muluk Sdn Bhd terus melakukan projek tersebut dengan tergesa-gesa dengan segala kelengkapan yang telah dipersetujui, tapi syarikatnya tidak dapat menyiapkannya seperti tarikh yang ditetapkan, kerana keadaan cuaca yang tidak menentu. Datuk Engku Aqmalzuhri memprotes mahukan rumah barunya segera disiapkan. Kerana tidak puasa hati, dia kemudian menyaman kontrator tersebut. Bermula dari situ Datuk Engku Aqmalzuhri tadi mempertikaikan peguam peribadinya dan syarikat tersebut bersubahat sama untuk mengaut keuntungan daripada kematiannya. Namun syarikat milik Tuan Haji Muluk hendak menyaman pula peguam yang dilantik Datuk Engku Aqmalzuhri kerana mereka terpedaya dengan perjanjian yang ditandatanganinya sebelum ini. Di mana perjanjian tersebut seharusnya, memberitahu apa yang hendak dikontraktorkan oleh syarikatnya, tapi apa yang dilakukan sebaliknya. Peguam peribadi Datuk Engku Aqmalzuhri memberi alasan, dia hanya mengikut apa yang disuruh, memandangkan projek tersebut bernilai RM1.6 juta, maka syarikat milik Tuan Haji Muluk terlupa hendak menyelidiki apa yang dilakukan dalam perjanjian kontrak tersebut sebelum ini.

Dalam kekalutan itu Datuk Engku Aqmalzuhri akhirnya mula bosan dengan apa berlaku, dia sendiri berasa buntu dengan rentetan masalah itu sehingga menjejaskan kebudimannya selama ini. Satu hari kawasan rumah barunya dicerobohi dua orang budak yang kelaparan sedang mencari kehidupan. Melihat kedaifan mereka Datuk Engku Aqmalzuhri telah memberi RM100,00.00 untuk mereka berdua supaya mereka dapat mengecapi kehidupan seperti orang lain. Dalam pada itu Datuk Engku Aqmalzuhri mula gusar bila kematiannya dipertikaikan pihak insuran yang meragui cara kematiannya.

Satu malam Datuk Engku Aqmalzuhri terkejut melihat ada seseorang yang menyerupai dirinya telah masuk ke dalam keranda mewahnya. Dia mula keliru dan peristiwa tersebut mengganggu kesihatannya. Akhirnya Datuk Engku Aqmalzuhri koma. Dia mula menilai apa saja yang diinginkan ketika hayatnya tercapai, tapi nazarnya untuk mati secara mewah itu tidak dapat dilakukan kerana dia mula sedar, bahawa hanya yang maha berkuasa saja yang dapat memisahkan jasad dari tubuhnya. Dia kemudian menjadi takut untuk mati. Dia menjadi cuak melihat kematian yang telah diimpikannya dengan apa yang telah berlaku padanya.

Setelah setahun Datuk Engku Aqmalzuhri sedar dari komanya, dia menginsafi apa yang berlaku. Sedarlah dia, bahawa yang menjaga semasa dia koma bukan keluarganya, tapi kedua-dua budak yang dibantunya dulu. Dia mula sedar bahawa kehidupan dan kematian bukan boleh dirancang serta dibaluti dengan segala kemewahan kerana bukan menyenangkannya, tapi memudaratkan dirinya. Apapun, dia terkilan dengan keluarganya yang hanya menginginkan kemewahan bukan dirinya. Akhirnya Datuk Engku Aqmalzuhri kembali pada azali-Nya.

naskhah naratif kemerdekaan pernah tersiar dewan sastera dan mengimbangi hadiah penghargaan penulis sarawak hpps genre drama

NARATIF KEMERDEKAAN mengisahkan rentetan perjuangan peribumi pelbagai kaum di Sarawak yang menentang pentadbiran Inggeris di bawah jajahan James Brooke. Kebangkitan semangat nasionalisme yang mencetuskan pemberontakan yang dilakukan oleh Sharif Sahap dan adiknya Sharif Mular, Pahlawan Rentap, Datu Patinggi Abdul Ghafur, Sharif Masahor, Linggir, Banting dan orang-orang Cina Hakka yang diketuai oleh Tauke.
Pun begitu perjuangan yang hanya berbekalkan semangat juang yang tidak mudah mengaku kalah banyak mengucar-kacirkan pentadbiran James Brooke di Sarawak. Pemberontakan demi pemberontakan yang dilakukan membuat James Brooke dan anak saudaranya, Charles Brooke semakin marah dan mereka memerintah supaya membunuh dan menyiksa sesiapa sahaja pemberontak yang dikenal pasti.
James Brooke yang satu ketika dalam detik yang hampir membawa kematiannya dalam pemberontakan orang-orang Cina Hakka di Kuching sempat melarikan diri dengan berenang di Sungai Sarawak. Pun begitu James Brooke terselamat. Dia lalu terus mengarahkan anak saudaranya, Charles Brooke untuk menyerang balik pemberontakan tersebut sehingga melumpuhkan perjuangan Sharif Sahap dan adiknya Sharif Mular, Pahlawan Rentap, Datu Patinggi Abdul Ghafur, Sharif Masahor, Linggir, Banting dan orang-orang Cina Hakka yang diketuai oleh Tauke. Dalam pada itu perjuangan semangat nasionalisme tidak memadamkan kebencian kesumat seorang pemuda bernama Rosli Dhoby kepada penjajahan Inggeris di Sarawak sehingga membawa kepada pembunuhan Gabenor Sir Duncan Steward sewaktu lawatannya ke Sibu.
Rosli Dhoby yang mengaku bersalah melakukan pembunuhan nekad itu dihukum gantung sampai mati oleh Inggeris. Namun bagi Rosli Dhoby, dia tidak akan mati sampai bila-bila pun dan dia berikrar, bahawa perjuangannya satu hari nanti menjadi saksi dan bukti sejarah dalam membebaskan daripada penjajahan Inggeris demi melihat negeri Sarawak mengecapi makna kemerdekaan.

naskhah jeda nur iman memenangi tempat ketiga peraduan menulis drama jubli emas dbpkl rm20,000.00

JEDA NUR IMAN kod perisian semi simulasi yang telah dihasilkan Doktor Habilmiskin untuk membantu Nur Iman dalam rentasan halusinasinya yang sarat dengan terjahan-terjahan pemikiran masa lalunya.

Pengisahan bermula dengan Nur Iman yang dilahirkan tanpa ikatan yang sah. Dia ditinggalkan ibunya di hadapan rumah Tuan Do dan Puan Ho. Nur Iman kemudian dijadikan anak angkat oleh Tuan Do dengan cinta dan kasih sayang kerana Tuan Do dan isterinya Puan Ho tidak mempunyai anak setelah bertahun berkahwin. Mereka menganggap Nur Iman seperti anak kandung mereka sendiri.

Namun sebaik sahaja Nur Iman menakah usia remajanya, dia dalam dilema kerana kedua-dua orang tua angkatnya bukan beragama Islam. Tuan Do menganut agama Kristian Katholik, sementara isterinya Puan Ho penganut agama Buddha. Tetapi Nur Iman dijaga serta dididik oleh orang gaji Tuan Do, iaitu Mak Zah yang telah lama bekerja di rumahnya. Pada Mak Zah terdidiknya Nur Iman dalam agama Islam.

Nur Iman cuba mencari kebenaran kerana dia sendiri keliru dengan apa yang telah berlaku dalam dirinya. Dalam pada itu dia tidak menyalahkan keluarga angkatnya, kerana di situlah dia mula mengenal dan mendapat kasih sayang. Namun dia ingin mencari sesuatu dalam dirinya. Setelah dia bertemu dengan seorang lelaki yang bernama Fakir yang pernah datang menemuinya. Nur Iman terus bergelut dengan perasaannya sendiri untuk mencari siapa sebenarnya kedua-dua orang tuanya.

Di situlah bermulanya keinginan Nur Iman untuk mencari makna kebenaran dalam hidupnya sebagai seorang muslimah yang sejati. Nur Iman kemudian bertemu dengan Habilmiskin yang dilahirkan melalui kaedah biosains dan teknologi iaitu kaedah permanian berhadas dalam campuran pelbagai sperma para cendikiawan. Dalam pada itu Habilmiskin juga berkonflik dengan status dirinya, kerana kaedah biosains dan teknologi yang telah membentuknya melanggar hukum dan akidah agama. Konflik itu terus bergelut dalam hubungan mereka.

Apapun, semua itu hanya biasan kehidupan masa lalu kerana cinta Nur Iman pada Habilmiskin sukar untuk dipisahkan. Namun ketabahan Nur Iman membuat dia redha untuk mencari titik yang dapat meleraikan dilema dirinya. Menyedari hakikat itu, Nur Iman tetap tabah dengan apa telah berlaku. Nur Iman kembali dalam dilemanya, bila kemunculan semula Fakir yang mengaku sebagai ayah kandungnya.

Menyedari apa yang berlaku begitu mengelirukan Nur Iman mula mencari di sebalik apa telah berlaku. Dia mencari permulaan kisah silamnya semasa kecil dengan keluarga angkatnya. Akhirnya, dia tahu bahawa Fakir itu ayahnya. Namun Nur Iman tidak dapat menerima hakikat kebenarannya. Tuan Do dan Puan Ho mula tertarik dengan ajaran agama Islam setelah ‘kematian’ Nur Iman. Mereka menganggap Nur Imanlah titik itu yang hadir dalam diri mereka. Titik yang semua orang ingin mencarinya dalam kehidupan.

Apabila Nur Iman cuba mencari kebenaran itu. Doktor Habilmiskin menceritakan hal kebenaran sebuah kehidupan yang dilaluinya itu cuma rentasan simulasi yang ingin mencari kebenaran dirinya dalam alam ciptaan Tuhan. Nur Iman keliru dengan apa berlaku, kerana dia dapat keluar masuk merentasi dimensi masa lalunya. Akhirnya Nur Iman akur, bahawa kebesaran dan kekuasaan Tuhan sesungguhnya menguji dirinya untuk kembali pada yang asal. Nur Iman akur pada azali-Nya.