Wednesday, May 16, 2007

naskhah naratif 1949

N A R A T I F 1 9 4 9 ; Mengisahkan Rusli seorang pengkali sejarah yang dirasuk roh seseorang dalam dirinya. Dia seperti mengingati semula tragedi ngeri yang menimpa seorang pejuang kemerdekaan, namun dia tidak tahu siapakah lelaki tersebut. Hampir setiap ketika dia terus dalam kerasukan, sehingga dia bertekad untuk mencari hubungannya dengan salasilah keturunan dengan roh lelaki yang sering merasuk dirinya. Seorang lelaki tua bernama Pak Der telah menghasut Rusli memasuki ke dalam roh, namun dia sendiri yang terperangkap dengan sejarah silamnya.
Kehadiran Gehana juga seorang pengkaji sejarah membantu Rusli dengan apa yang dilaluinya. Keterbalikan minda Rusli dengan apa yang meresapi dalam dirinya telah membuat dia merelakan saja kedatangan roh seseorang itu dalam dirinya. Namun hubungan baik antara Gehana dengan Rusli mendapat bantahan Pak Der dalam diam.
Satu hari terbongkar rahsia bila Rusli dalam kerasukan mendapati bahawa roh seseorang itu rupanya seorang pejuang kemerdekaan bernama Rosli Dhoby. Dan Pak Der yang cemburu dan iri hati tidak mahu melihat ketokohan Rosli Dhoby cuba memalsukan fakta sejarah dengan mengatakan yang membenamkan badik keramat itu ke dada Sir Duncan George Steward adalah dirinya, bukan Rosli Dhoby. Semua itu terus mengelirukan Rusli.
Rusli terus diresapi roh naratif perjuangan Rosli Dhoby yang menentang Inggeris pada tahun 1949. Dalam pada itu Gehana cuba mencari kebenaran lencongan sejarah tersebut sebagai retorika pemikiran kerana fakta perjuangan Rosli Dhoby dilabelkan Inggeris sebagai seorang pembunuh yang zalim dan kejam. Semua itu terus menganggu emosi Rusli. Seorang perempuan tua bernama Nek Jara telah meleraikan kekalutan dalam diri Rusli kerana kata Nek Jara, Rusli sebenarnya penjelmaan roh Rosli Dhoby yang berasa terkilan dengan generasi masa kini yang melihat kemerdekaan hanya sebagai bahan lelucon yang tidak bermakna.
Rusli akhirnya tidak mahu kembali lagi ke alam normal kerana dia mahu terus hidup dalam rentasan roh masa silam pejuang yang banyak memberi makna kemerdekaan kepada generasinya, tapi Rusli terperangkap dalam definisi cintanya pada Gehana. Kekerapan rasukan roh tersebut dalam diri Rusli menggusarkan Gehana. Dalam pada itu Gehana cuba mencari kebenaran fakta sejarah masa silam Pak Der antara hubungkaitnya dengan roh yang sering memasuki Rusli.
Rusli dapat melihat apa yang berlaku dalam resapan roh pada zaman naratif kolonial tersebut. Dan memberitahu, bahawa fakta sejarah yang diceritakan Pak Der tidak benar kerana Pak Der mahu sejarah Sarawak harus mengenang jasanya, tapi dia seperti kehilangan maruah dirinya kerana telah berkerjasama dengan Inggeris ketika itu.
Rusli yang dalam kerasukan telah membenamkan badik keramat milik Rosli Dhoby ke rusuk Pak Der kerana pada tanggapan Rusli, dia membenamkan badik tersebut ke dada lelaki Inggeris seperti yang dilakukan Rosli Dhoby sebelum ini. Rusli semakin keliru dengan rentasan roh tersebut yang terus menghantuinya. Namun Gehana mengembalikan semangat Rusli dengan mengatakan, dia hanya dalam rentasan kerasukan roh ketika menyiapkan kajiannya.
Rusli kesal dengan apa yang berlaku bila dia mendapati Pak Der telah menjadi korban dalam rasukannya. Nek Jara memberi penjelasan tentang muslihat dan sifat pendendam Pak Der ketika zaman perjuangan Rosli Dhoby sebagai satu pembalasan yang wajar. Akhirnya Rusli dan Gehana dapat menyiapkan manuskrip naratif 1949 itu untuk kajian tahun mereka.