Sunday, May 20, 2007

naskhah drama terbaru pengembaraan iqbalirani

NASKHAH PENGEMBARAAN IQBALIRANI mengisahkan seorang lelaki bernama Iqbalirani yang mencari dirinya dalam pengembaraan seratus hari. Setiap wilayah yang dikembarainya sebuah destinasi yang sama, tapi berlainan suasana. Iqbalirani terus mencari apa yang diwasiatkan bondanya, bahawa pengembaraan akan membebaskan jiwanya yang tersiksa dan terpasung daripada segala hasutan dan godaan para iblis yang sentiasa berkeliaran dan menanti kelalaian dirinya.
SATU hari Iqbalirani didatangi seorang perempuan bernama Hajariah yang terlalu cantik paras rupanya, ingin turut serta dalam pengembaraannya dan Iqbalirani menerimanya, kerana dia telah terpukau dengan kecantikan perempuan tersebut. Dalam masa yang sama datang seorang lelaki bernama Anarki juga ingin turut serta dalam pengembaraan tersebut. Dalam pada itu Iqbalirani tidak sedar, bahawa Anarki sebenarnya penjelmaan iblis untuk memesongkan akidah dirinya supaya melakukan dosa yang terkutuk. Akhirnya, Iqbalirani terperangkap dengan muslihat Anarki lalu melakukan perbuatan keji dengan Hajariah. Setiap detik Anarki sentiasa menanti kelalaian Iqbalirani untuk meracuni fikirannya, supaya mengulangi perlakuan yang dilaknati itu.
KERAPUHAN iman Iqbalirani disedari oleh Robot Bayan yang diciptanya, seraya mengatakan bahawa dia sudah terperangkap dengan hasutan Anarki ke rahang kejahatan. Namun Iqbalirani tetap dengan pendiriannya. Hari-hari seterusnya Iqbalirani mula berasa dia perlahan-lahan kesirnaan susuk dirinya. Iqbalirani berasa kesal dengan apa yang berlaku. Namun semua itu sudah terlambat. Dalam pada itu dia juga kehilangan Hajariah dan Robot Bayan ciptaannya dalam terjahan ribut pasir.
SEJAK tragedi itu Iqbalirani mula mengabdikan dirinya kepada yang maha berkuasa dan dia meneruskan pengembaraan mencari dirinya yang sebenar di alam ciptaan Tuhan, sehingga dia terjumpa sebuah telaga yang sekian lama ditinggalkan. Dari telaga tersebut dia menyedari, bahawa perubahan pada dirinya yang begitu cepat sekali dimamah usianya. Ketika menangis di telaga tersebut, Iqbalirani didatangi roh bondanya seraya berkata, supaya dia menerima semua yang berlaku sebagai ketentuan yang maha esa kepada hamba-Nya yang kerdil. Pengembaraan yang seratus hari, Iqbalirani menemui ajalnya di sisi telaga tersebut dalam keadaan yang terlalu daif.

naskhah drama terbaru dinding

D I N D I N G ; Mengisahkan pergolakan intelektualisme yang mencari identiti diri dalam kehidupan. Doktor Orked yang telah ditinggalkan kekasihnya mendendami setiap lelaki dan tidak pernah mempercayai mereka lagi. Profesor Darma pula yang begitu taksub dengan kepakarannya, sehingga dia berasa angkuh dan sombong. Sementera Doktor Roman lelaki kacukan India/Cina yang berfikiran terbuka, tetapi melucukan.
Mereka terperangkap dalam ruang dinding yang bergerak untuk menghempit mereka. Namun mereka ego mengatakan, mereka bijak menyelesaikannya tanpa perlunya berkerjasama antara satu sama lain. Ketidaksefahaman antara Profesor Darma dan Doktor Roman telah membuka ruang untuk Doktor Orked memperalatkan mereka kerana salah seorang daripada mereka harus menjadi korban semah jika mahu keluar dari hempitan dinding yang semakin mengecil itu.
Maka berlakulah sifat individualisme, prejudisme, serta hikporitisme dalam minda mereka demi meneruskan kelangsungan kehidupan diri masing-masing tanpa persefahaman. Akhirnya mereka menyedari, bahawa walaupun setinggi mana daya intelektualisme serta tahap kepakaran mereka dalam bidang masing-masing tanpa kerjasama serta saling mempercayai antara satu sama lain tidak bermakna. Profesor Darma berterus-terang tentang hatinya pada Doktor Orked, namun semua itu sudah terlambat, kerana mereka sudah terhempit antara dinding tersebut. Apapun, semua yang berlaku itu sebenarnya sorot pandangan naratif Pak Narki yang sekian lama hidup sendirian di sebalik dinding tersebut.