Thursday, May 17, 2007

naskhah nazarkumal pernah tersiar dewan sastera

NAZARKUMAL mengisahkan nazar Datuk Engku Aqmalzuhri yang mahukan tempat persemadiaannya nanti mesti serba canggih dengan peralatan dan perisian sistem multimedia. Dia telah memberi kontraktor tersebut kepada sebuah syarikat Tajul Muluk Sdn Bhd yang dimiliki Tuan Haji Muluk untuk membina projek tersebut. Syarikat tersebut menyanggupinya, setelah ditawarkan RM1.6 juta. Tapi syarat yang diletakkan Datuk Engku Aqmalzuhri supaya projek itu dirahsiakan. Apa yang mengejutkan pemilik syarikat tersebut rumah baru yang dimaksudkan itu ialah sebuah kawasan perkuburan dengan keranda mewah yang serba canggih. Namun Datuk Engku Aqmalzuhri tidak dapat mati dengan selesa kerana dia berasa apa yang dinazarnya, tidak menepati apa yang diimpikannya sebelum ini.

Syarikat Tajul Muluk Sdn Bhd terus melakukan projek tersebut dengan tergesa-gesa dengan segala kelengkapan yang telah dipersetujui, tapi syarikatnya tidak dapat menyiapkannya seperti tarikh yang ditetapkan, kerana keadaan cuaca yang tidak menentu. Datuk Engku Aqmalzuhri memprotes mahukan rumah barunya segera disiapkan. Kerana tidak puasa hati, dia kemudian menyaman kontrator tersebut. Bermula dari situ Datuk Engku Aqmalzuhri tadi mempertikaikan peguam peribadinya dan syarikat tersebut bersubahat sama untuk mengaut keuntungan daripada kematiannya. Namun syarikat milik Tuan Haji Muluk hendak menyaman pula peguam yang dilantik Datuk Engku Aqmalzuhri kerana mereka terpedaya dengan perjanjian yang ditandatanganinya sebelum ini. Di mana perjanjian tersebut seharusnya, memberitahu apa yang hendak dikontraktorkan oleh syarikatnya, tapi apa yang dilakukan sebaliknya. Peguam peribadi Datuk Engku Aqmalzuhri memberi alasan, dia hanya mengikut apa yang disuruh, memandangkan projek tersebut bernilai RM1.6 juta, maka syarikat milik Tuan Haji Muluk terlupa hendak menyelidiki apa yang dilakukan dalam perjanjian kontrak tersebut sebelum ini.

Dalam kekalutan itu Datuk Engku Aqmalzuhri akhirnya mula bosan dengan apa berlaku, dia sendiri berasa buntu dengan rentetan masalah itu sehingga menjejaskan kebudimannya selama ini. Satu hari kawasan rumah barunya dicerobohi dua orang budak yang kelaparan sedang mencari kehidupan. Melihat kedaifan mereka Datuk Engku Aqmalzuhri telah memberi RM100,00.00 untuk mereka berdua supaya mereka dapat mengecapi kehidupan seperti orang lain. Dalam pada itu Datuk Engku Aqmalzuhri mula gusar bila kematiannya dipertikaikan pihak insuran yang meragui cara kematiannya.

Satu malam Datuk Engku Aqmalzuhri terkejut melihat ada seseorang yang menyerupai dirinya telah masuk ke dalam keranda mewahnya. Dia mula keliru dan peristiwa tersebut mengganggu kesihatannya. Akhirnya Datuk Engku Aqmalzuhri koma. Dia mula menilai apa saja yang diinginkan ketika hayatnya tercapai, tapi nazarnya untuk mati secara mewah itu tidak dapat dilakukan kerana dia mula sedar, bahawa hanya yang maha berkuasa saja yang dapat memisahkan jasad dari tubuhnya. Dia kemudian menjadi takut untuk mati. Dia menjadi cuak melihat kematian yang telah diimpikannya dengan apa yang telah berlaku padanya.

Setelah setahun Datuk Engku Aqmalzuhri sedar dari komanya, dia menginsafi apa yang berlaku. Sedarlah dia, bahawa yang menjaga semasa dia koma bukan keluarganya, tapi kedua-dua budak yang dibantunya dulu. Dia mula sedar bahawa kehidupan dan kematian bukan boleh dirancang serta dibaluti dengan segala kemewahan kerana bukan menyenangkannya, tapi memudaratkan dirinya. Apapun, dia terkilan dengan keluarganya yang hanya menginginkan kemewahan bukan dirinya. Akhirnya Datuk Engku Aqmalzuhri kembali pada azali-Nya.

No comments: