Wednesday, November 14, 2007

naskhah drama terbaru; kepompong zubiral

NASKHAH KEPOMPONG ZUBIRAL KINDI; Mengisahkan perjuangan seorang lelaki bernama Zubiral Kindi yang telah mengabdikan seluruh hidupnya pada peperangan, sehingga dia terpaksa mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarganya. Dia berasa peperangan yang diperjuangkannya sebahagian daripada jihadnya pada yang maha berkuasa. Setiap peperangan yang disertainya, semuanya dalam kemenangan dan telah menjebakkan dirinya ke hutan keegoaan dan keangkuhan. Satu hari ketika dia berperang dan dia telah mengalami kekalahan buat pertama kali dalam hidupnya, dan dia pula menjadi tawanan pihak musuh yang sering menanti kekalahannya. Namun Zubiral Kindi tetap diselirati ego dan angkuh dengan sejarah keperkasaan sebelum ini dan dia berasa yakin dia belum dapat dikalahkan lagi.
SEBERMULA dalam tawananlah, Zubiral Kindi mula berasa dirinya terasing jauh dan sarat kerinduan terhadap keluarganya yang sering diabaikannya selama ini meronta-ronta dalam sukma dan kalbunya. Sehingga dia terbawa-bawa ke alam rentasan mimpi-mimpinya saban malam. Di penjara itu juga dia mula belajar mengenali siapa dirinya selama ini yang terlalu taksub dengan perjuangan dan kemenangannya, sehingga dia lupa akan kebesaran yang maha berkuasa di alam fana ini. Namun sarat keegoan dan akar keangkuhan telah mempengaruhi kehidupannya selama ini.
SATU hari Zubiral Kindi berasa ruang yang melengkunginya seperti kelainan dalam diri dan persekitarannya. Zubiral Kindi juga berasa, dia sering dilawati isteri dan anak-anaknya seraya membawa pakaiannya yang semuanya berwarna putih. Dan satu detik dia terus berasa aneh dan menjadi penakut dengan kedatangan dua makhluk yang mengatakan, bahawa dia sebenarnya sudah meninggal dunia dalam peperangan beberapa dekad yang lalu. Dia berasa hiba dan sayu dengan apa yang berlaku terhadap dirinya. Kerinduan dan keterasingan telah membawanya ke destinasi lain, di mana dia dapat melihat penantian seorang perempuan yang penuh pengharapan dan kerinduannya pada anak-anaknya meronta-ronta dalam dirinya.
SEMUA itu terus menggamit kekesalan di hatinya. Namun semuanya sudah terlambat dan dia terpaksa akur dengan kekalahan yang paling sukar sekali diterimanya sebagai seorang pejuang yang selama ini beranggapan detik kemenangan adalah sebahagian daripada rutin kehidupannya. Dan dia berasa setiap kemenangan yang mengekorinya sebuah pengembaraan yang jauh sekali dari kehidupan keluarganya. Zubiral Kindi terpaksa menukar peperangan yang dimenanginya dengan kekalahan yang memalukannya. Dia akhirnya pasrah dengan apa yang berlaku.